My True Friends

Saturday 14 January 2012

Luahan Rasa Seorang Teman

Semakin meningkat umur, semakin banyak dugaan dan pengalaman yang ditimba oleh aku sebagai seorang pelajar. Lebih-lebih lagi aku menuntut di salah sebuah university yang agak baru di Sarawak. Jauh dari keluarga serta rakan-rakan yang sering berkongsi suka-duka bersama. Setiap manusia punya hati serta punya perasaan.

Aku adalah salah seorang pelajar dari sekolah SMKA yang kebanyakan orang tahu bahawa sekolah tersebut adalah sekolah agama. Aku seronok dalam menimba serta mendalami segala ajaran agama serta dapat mendalami bahasa arab yang boleh dikatakan bahasa yang paling susah untuk difahami. Apabila aku menjejakkan kaki keluar dari sekolahku, hatiku terus berbisik serta tertanya ‘Bagaimana kehidupan di dunia luar serta mampukah aku dengan segala godaan di luar sana?’ . Sehingga sekarang semuanya masih menjadi tanda tanya.

Sesungguhnya aku amat takut akan dunia luar dan kebanyakan pelajar juga menunjukkan reaksi yang sudah dapat aku agak dari mula lagi setelah mereka tahu di mana aku bersekolah. Aku tidak menghiraukan apa yang dikatakan oleh mereka dan mereka tidak tahu bagaiman aku di sekolah, kerana itu aku membuat keputusan untuk mengendahkan kata-kata mereka dan hanya aku pohon adalah doa mereka agar dikuatkan hatiku untuk menuju ke jalan Ilahi. Aku tidak terpesong, hanya belum bersedia untuk melakukan apa yang patut. Pernah terlintas untuk memakai yang labuh tetapi keyakinan itu tidaklah kuat.

Dari kecil hinggalah dewasa, tidak pernah terdetik bahawa diri ini perlu untuk bersuara. Aku hanya mampu memencilkan diri berbanding bersuara akan kerana terasa kerdilnya diri ini. Memang dari kecil aku tidak pernah didedahkan dengan bercakap di depan orang ramai, tidak seperti adik-adikku yang lain berani tampil untuk bersuara. Kekadang terasa malu bila melihat keletah mereka. Pernah aku menangis ketika melakukan oral bahasa melayu di sekolah kerana takut dan itu jugalah yang berlaku pada keputusan MUET ku. Walau aku belum melihat markah keseluruhanku tapi aku perlu mengambil semula ujian untuk MUET semula dan ini aku lakukan demi masa depanku.

Aku takut akan pertandingan tapi aku sedar yang aku harus belajar untuk bersuara. Aku cuba untuk melangkah dari bawah dan cuba untuk menggapai tangan yang diatas. Aku cuba dengan memberanikan diri di atas pentas dengan kelebihan yang aku ada, namun aku masih tetap gugup cuma kerana kecacatan mata yang aku alami mengurangkan rasa takut itu. Aku tidak dapat melihat penonton dengan jelas dan aku bersyukur kerana aku tahu segala yang berlaku itu ada hikmahnya.

Setiap manusia pasti memasang cita-cita sejak kecil lagi, begitu juga aku dan apabila aku menjejakkan kaki ke alam universiti, segala kelemahan aku telah kelihatan dan aku tahu yang aku tidak dilahirkan untuk menjadi seorang doktor. Aku cuba menyelami minatku, tapi aku tiada jawapan dan aku masih keliru. Aku terlalu meminati muzik tapi tidak mungkin aku ke bidang itu. Aku tertarik kepada manusia, ragam mereka, gaya kehidupan dan segala yang berada disekeliling mereka. Ingin aku tahu apa yang mereka fikir, bagaimana mereka jadi begitu, apa sebabnya, dan segalanya tersimpan menjadi persoalan yang bakal ku rungkai satu hari nanti dan Insyaallah jika hari itu tiba.

Secara jujur, aku memerlukan seseorang untuk menjadi akar yang mampu menyokong aku. Bukan teman lelaki yang aku inginkan tetapi seorang teman. Memang aku mempunyai teman di sini tapi di saat aku bersendirian, hati ini pasti merintih, bukan niat hendak bermanja hanya takut ditinggalkan. Bagaimanakah kehidupan ku selepas asasi??? Bagaimana rakan-rakanku, adakah mereka akan melupakan aku? Aku adalah seseorang yang sangat sukar untuk mendapat kawan kerana sifat takut. Takut terhadap apa, aku sendiri tidak tahu. Teringin hendak bergaul dengan yang lain di dalam kelas, tetapi lebih memilih untuk melihat mereka bergelak tawa dan berkongsi ilmu bersama. Aku ingin mereka rasa akan kehadiranku, tapi apa yang patut aku lakukan???

Aku perlu seorang tutor bukan seorang teman tetapi siapa. Aku perlu seorang tutor yang mudah memahami dan sabar dengan kerenahku yang lambat dalam memahami sesuatu. Sudah pelbagai yang aku cuba, tetapi hasilnya tetap tidak berubah. Secara keseluruhannya, aku memerlukan seseorang yang dapat memberikan aku inspirasi dan menaikkan semangat aku.

Tiada rahsia yang ingin ku kongsikan kerana segalanya adalah luahan, 
Tiada kata yang mampu ku susun, hanya diri ingin engkau tahu...
Tatkala kau bersedih aku ada, 
Tatkala aku berdih,
Adakah tangan yang mampu menghilangkan rasa sedih ini???

Pernah aku merintih dengan airmata yang mengalir di pipi saat melihat pemandangan di bumi ini, sungguh ciptaan-NYA yang Maha luas. Aku tahu dia sering ada di sisiku...

No comments:

Post a Comment